Wednesday, 20 October 2010

KEPENTINGAN RUMPAI LAUT

Memandangkan rumpai laut merupakan kumpulan tumbuhan yang banyak mendiami persekitaran laut, maka tumbuhan ini mempunyai peranan yang besar dalam kemandirian sistem ini. Memandangkan sumbangan besar yang dimainkan oleh tumbuhan tidak vaskular ini untuk kesejahteraan dan kebajikan manusia, maka dirasakan kurang adil istilah rumpai digunakan pada flora ini. Lebih tepat lagi kita istilahkannya sebagai sayur-sayuran memandangkan tumbuhan ini mempunyai potensi yang besar untuk digunakan secara meluas sebagai makanan.



Kepentingan ekonomi
a)     Makanan pencuci mulut
Rumpai laut mempunyai beberapa kegunaan kepada manusia sehari-hari. Manusia telah menggunakan rumpai laut sebagai makanan sejak berkurun-kurun. Manusia telah menyedari bahawa beberapa rumpai laut terutama alga merah dan alga perang boleh dijadikan sebahagian daripada diet. Cara memakannya berbeza-beza bergantung pada kebudayaan masing-masing.
     Rumpai laut boleh dimakan secara mentah, dimasak atau dikeringkan. Tumbuhan ini merupakan sumber yang baik bagi beberapa vitamin dan mineral selain mempunyai kandungan protein yang tinggi. Walaupun ia mempunyai karbohidrat yang tinggi, tetapi karbohidrat ini sukar dihadamkan. Sebagai contoh di Hawaii, rumpai laut yang dikenali sebagai 'limu' telah menjadi makanan kegemaran sejak turun temurun. Dua spesies yang digemari ialah Entermorha prolifera (alga hijau) danGracilaria coronopifolia (alga merah). Di beberapa tempat di kepulauan Britain, Porphyra (alga merah) yang dikenali sebagai 'purple laver' dimakan dengan beberapa cara. Alga merah dibasuh dan direbus untuk dijadikan kek leper yang dikeringkan dan digunakan untuk membuat 'blancmange' dan makanan pencuci mulut yang lain. Di negara-negara ini, Palmaria (alga merah) atau lebih dikenali sebagai 'dulse' masih digunakan untuk membuat roti dan makanan pencuci mulut.

b)    Membuat teh dan kandi
Di Jepun, penyediaan makanan daripada rumpai laut merupakan satu seni. Beberapa spesies telah ditanam dan aktiviti ini merupakan tradisi yang telah lama diamalkan. Spesies Laminaria dan Alaria (atau 'kombu') dikeringkan dan dihancurkan sebelum dimakan. Tumbuhan ini turut digunakan untuk membuat the dan kandi. Undaria atau 'wakame' ialah satu lagi kelpa yang sedap dimakan secara mentah. Porphyra digunakan untuk membuat 'nori' (kulit nipis) yang digunakan secara meluas dalam sup dan sebagai pembungkus 'sushi' (nasi rebus yang disertakan dengan ikan mentah dan landak laut).
     Di Malaysia, beberapa spesies Caulerpa dan Gracilaria dimakan mentah oleh masyarakat Melayu tempatan terutamanya di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Di Sabah, Eucheuma merupakan rumpai laut yang sangat digemari oleh masyarakat tempatan.

c)     Makanan haiwan dan baja
Rumpai laut juga digunakan sebagai makanan haiwan dan baja. Sebagai makanan haiwan, makroalga seperti Ascophyllum, Laminaria dan Fucus boleh diberikan kepada kembing, lembu, kuda, ayam dan babi. Pertumbuhan haiwan ternakan boleh meningkat dengan cepat memandangkan rumpai laut kaya dengan mineral dan vitamin. Lembu yang diberi makan rumpai laut juga didapati menghasilkan susu yang mempunyai kandungan lemak yang tinggi. Sekiranya ayam diberi makan rumpai laut, telur yang dihasilkan didapati mempunyai kandungan iodin yang tinggi. Masyarakat di pinggir laut juga menggunakan rumpai laut sebagai baja. Rumpai laut yang biasa digunakan untuk tujuan ini termasuklah Fucus. Alga perang ini kaya dengan kalium, fosforus, unsur surih dan bahan pertumbuhan. Rumpai laut dibiarkan reput di ladang atau dicampurkan dengan bahan organik yang lain. Baja yang terhasil bukan sahaja memperkaya tanah dengan nutrien tetapi juga membantu dalam membaiki struktur tanah.

d)    Bidang perubatan
Rumpai laut seperti MacrocystisLaminariaFucusSargassumTurbinariaHormophysa dan Hydroclathrus telah digunakan sejak berkurun-kurun untuk mengubati beberapa penyakit seperti goiter, disenteri, diarea dan masalah usus kecil dan pundi. Beberapa spesies rumpai laut dilaporkan mempunyai nilai antibiotik, antibakteria, antikulat, antitumor, vermifuj dan ubat cacing. Sesetengah spesies pula diketahui boleh merendahkan tekanan darah dan aras kolestrol plasma.

e)     Menghasilkan bahan kimia
Rumpai laut menghasilkan beberapa jenis bahan kimia bak kanji yang dikenali sebagai fikokoloid. Fikokoloid digunakan dengan meluas dalam industri pembuatan makanan. Kemampuannya membentuk gel walaupun pada suhu rendah menjadikan fikokoloid begitu berharga. Bahan-bahan komersil ini banyak mempunyai kegunaan dalam industri terutama sebagai bahan penebal, pengampai, penstabil dan pembentuk gel. Salah satu fikokoloid yang terpenting ialah algin (yang terdiri daripada asid alginik dan garamnya alginat). Algin digunakan sebagai bahan penstabil dan pengemulsi dalam pembuatan hasil tenusu seperti aiskrim dan keju. Selain daripada itu, ia juga digunakan sebagai agen pengampai dalam pembuatan bahan pengilat, farmasi, dadah dan antibiotik.
     Fikokoloid  kedua  yang boleh diperoleh daripada rumpai laut ialah karagenan. Bahan ini diperoleh daripada alga merah seperti Chondrus ('irish moss') di Atlantik Utara dan Eucheuma  di kawasan tropika. Karagenan menyerupai agar-agar tetapi mengandungi kandungan abu yang tinggi dan memerlukan kepekatan tinggi untuk membentuk gel. Bahan ini digunakan sebagai agen penstabil dalam aiskrim, ubat gigi, sirap, ubat batuk, minuman keras dan hasil tenusu di samping membaiki tekstur roti dan sup.


Kepentingan ekologi
a)     Ekologi samudera
Rumpai laut memainkan peranan penting dalam ekologi samudera. Kewujudan rumpai laut terutama alga perang mempunyai kesan penenang terhadap laut. Tumbuhan ini kadangkala boleh hidup dengan begitu banyak hingga membentuk hutan di dasar laut dan bertindak sebagai benteng yang mampu membendung dan mengurangkan daya ombak yang merempuh pantai. Selain itu, rumpai laut bersama-sama rumput laut (tumbuhan berbunga) bertindak untuk menstabilkan pinggir pantai dan mengurangkan hakisan.

b)    Menyediakan habitat
Rumpai laut menyediakan habitat yang sesuai untuk berbagai-bagai jenis hidupan laut seperti ketam, buran laut, tapak sulaiman, teritip, bunga karang dan alga kecil yang lain. Bentuknya yang rimbun mampu memberikan perlindungan daripada ombak dan juga pemangsa organisma-organisma ini. Organisma yang bersembunyi di celah-celah lamina rumpai laut ini kemudiannya menjadi makanan kepada fauna yang lebih besar. Rumpai laut itu sendiri menjadi makanan secara langsung kepada hidupan laut terutama makanan untuk moluska. Rumpai laut yang terdampar di pantai akan mengalami pereputan dan memungkinkan kunjungan pelbagai jenis serangga terutama lalat. Organisma yang makan dan berlindung pada rumpai yang reput ini kemudiannya akan menjadi makanan kepada hidupan lain.
     Alga merah koralin mempunyai peranan yang tersendiri terutama di terumbu karang. Alga merah seperti PorolithonLithothamnion dan Lithopyllum menyumbangkan kalsium karbonat untuk pertumbuhan terumbu batu karang, malah kadangkala sumbangan kalsium karbonat ini lebih besar daripada yang diberikan oleh haiwan karang.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment